Tuesday, December 8, 2009

Lidah kesat, masyarakat tabiat

"Di dalam hidup manusia, yang penting
ialah BERKAT.
"Bila hidup kita berkat, diri ini akan
selamat.
"Apabila diri selamat, rumahtangga jadi
sepakat.
"Apabila rumahtangga jadi sepakat,
masyarakat jadi muafakat.
"Apabila masyarakat jadi muafakat, negara kita
menjadi kuat.
"Apabila negara menjadi kuat, negara luar jadi hormat.
"Apabila negara luar jadi
hormat, permusuhan pun tersekat.
"Apabila permusuhan tersekat,
pembangunan pun meningkat.
"Apabila pembangunan pun meningkat,
kemajuan menjadi pesat.

"TETAPI AWAS, apabila pembangunan
meningkat, kemajuan menjadi pesat,
kita lihat bangunan naik bertingkat-
tingkat.
"Ditengah- tengah itu, tempat maksiat
tumbuh macam kulat.
"Apabila tempat-tempat maksiat tumbuh macam
kulat, KETIKA ITU manusia mula
mengubah tabiat.
"Apabila manusia telah mengubah tabiat,
ada yang jadi lalat ada yang jadi
ulat.
"Apabila manusia dah jadi ulat,
sembahyang makin hari makin liat.
"Apabila sembahyang jadi liat, orang
baik ada yang bertukar jadi
jahat.
"Apabila orang baik bertukar jahat,
orang miskin pula nak kaya cepat.
"Apabila orang miskin nak kaya cepat,
orang tua pula nak mati
lambat.
"Apabila orang tua nak mati lambat, tak
dapat minum madu telan jerla
minyak gamat.

"Yang lelaki, budak budak muda pakai
seluar ketat.
"Semua nak tunjuk kuat.
"Bila berjudi, percaya unsur khurafat.
"Tapi hidup pula yang melarat.
"Tali kasut dah tak berikat.
"Rambut pun jarang sikat.

"Yang perempuan, pakai mini sekerat.
"Suka pakai baju ketat.
"Suka sangat menunjukkan pusat.
"Hingga tak pedulikan lagi batasan
aurat.

"Pakai pulak yang singkat-singkat.
"Kadang-kadang ternampak benda 'bulat'.

"Bila jadi macam ini, siapa lihat pasti
tercegat."Silap gaya jadi gawat, bohsia bohjan
lagi hebat.
"Duduk jauh berkirim surat .
"Bila berjumpa, tangan berjabat.
"Kemudian pakat lawan peluk siapa erat.
"Masa tu, nafas naik sampai tersekat

Bersambung... nantikan "kesat dikerat"

Oleh : Iqram Al-Mujahid
Tarikh : 21/11/2009
Masa : 8.00 malam
Tempat : KG. MUHIBBAH

TAKWIM SOLAT 1431H

Takwim solat 1431H akan diterbitkan oleh PERPPIS dalam minggu ini, insyaallah akan diedarkan pada minggu hadapan bermula hari Isnin. Takwim solat ini akan dijual dengan harga RM3.50 senaskah. Sesiapa yang ingin menempahnya bolehlah menghubungi mana-mana AJK PERPPIS yang anda kenali.

Takwim solat untuk kawasan Tawau telah diterbitkan oleh pihak PERPPIS sejak tahun 1990 lagi bagi memudahkan masyarakat Islam di Tawau untuk menyemak dan mengetahui waktu solat tanpa perlu mengira (mencampur atau menolak) daripada jadual yang telah diterbitkan oleh Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah. Usaha ini merupakan usaha dakwah yang telah dilakukan oleh PERPPIS sejak dahulu lagi.

Penerbitan takwim ini juga bagi membantu pihak PERPPIS mendapatkan dana kewangan bagi menampung operasi dan program yang dikelolakan oleh PERPPIS. Perlu diingat, penerbitan takwim ini bukan bersifat untuk mencari keuntungan tetapi lebih bersifat kebajikan. Selain itu juga, pengedaran takwim solat ke tengah masyarakat dilakukan oleh ahli dan AJK PERPPIS sendiri. Usaha ini secara tidak langsung, menjadi medan kepada aktivis PERPPIS untuk berinteraksi dan dapat membaiki kemahiran sosial apabila bertemu dengan masyarakat. Usaha ini juga, dapat membina sifat yakin diri, mengikis perasaan malu dan menanamkan sifat amanah dan dedikasi dalam melaksanakan tugas ini.

Kita mengharapkan usaha murni pihak PERPPIS melalui penerbitan takwim solat 1431H dibantu dan disokong bagi memastikan semua ahli masyarakat Tawau menjaga waktu solat dan mengerjakan solat pada awal waktu. Mudah mudahan usaha yang kecil ini diberkati dan diredai oleh Allah s.w.t..

Sekian wasalam

Tarikh : 9/12/2009
Masa : 8.30 pagi

Sunday, December 6, 2009

Ini Langkahku

Tinta menghurai bicara
Sirah menyingkap sejarah
Terbentanglah segenap kisah
Tamadun mula berbicara

onak duri yang mendatang
ujian, badai dan cabaran
sebagai acuan setiap perjalanan
menjadi pelengkap sebuah perjuangan

Telah ku pilih jalan ini
sebagai perjalanan hidupku
Walau ku tahu kebahagian belum tentu
namun ku tahu kemenangan hanya satu

Tiap langkahku
terselit jalan yang berliku
Acap kali dipalu
menuntun pengorbanan yang jitu
Adakalanya,
merantai diriku
mencabar kesabaranku
mengundang egoku
Menggugat imanku
itulah yang harus ku tempuh
sebagai tarbiah buat diriku
untuk meningkatkan martabat diriku

oleh : imtiyazkhairunnisa
tarikh : 07/12/2009 ( 2.25 petang)
tempat: pejabat

Wednesday, December 2, 2009

BICARA HATI

Menyimpan rahsia hati
Menyingkap jendela hati
Melihat peribadi
Telah terluaskan akhlak di sanubari

Pana melakar rasa
Kalam menuntut bicara
Mengurai setiap maksud di jiwa
Mentafsir simbolik setiap cerita.

Merentas jalan nan panjang
Telah tersedia cabaran mendatang
Mengharungi cabaran bertandang
Telah tertulis 1001 halangan bersilang.

Hidup sebentar Cuma
Ibarat sekelip mata ia akan berakhir jua
Tamsilan pasang air kau surut jua
Inilah terlakar suratan takdir.

Renunglah pada sekelumit hati
Muhasabah di akar malam nanti
Jangan tibanya waktu diri masih mencari
Apakah bekalan bertemu Ilahi.

OLEH :Imtiyazkhairunnisa
Tarikh :03/12/2009 (03.36 petang)
tempat :Pejabat

DEMI MASA

DEMI MASA
(Peringatan untuk pelajar SMK Tawau)

Assalamualaikum
Cikgu mulakan bicara hari ini dengan memetik maksud surah Al-Asr ayat 1 dan 2. “Demi masa, ssungguhnya manusia berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh”. Harapan cikgu, pelajar-pelajar tingkatan 6 Rendah Iltizam dan 6 Rendah Realis pada waktu dan ketika ini, semoga berada dalam keadaan sihat walafiat. Terima kasih kerana anda sekalian ternanti-nanti soalan latihan yang telah cikgu janjikan sebelum cuti akhir tahun bermula. Soalan berkenaan telah disediakan, dan boleh meneliti di bahagian “Latihan BM”.
Masa cuti hanya tinggal sebulan sahaja lagi, sebelum sesi persekolahan 2010 bermula pada 4 Januari 2010. Manfaatkan cuti yang telah dianugerahkan kepada anda dengan melakukan kerja-kerja yang makruf dan jauhilah sama sekali perbuatan-perbuatan yang membawa dosa walaupun perkara atau perbuatan itu amat anda gemari. Tiada untungnya, melakukan kerja-kerja atau perbuatan yang berdosa. Malahan perbuatan berkenaan akan mendatangkan murka Allah S.W.T. Fikir-fikirkanlah, semoga perjalanan hidup anda hari ini lebih baik daripada hari semalam.

Sekian, wassalam.

3 Disember 2009
2.00 petang